hanya laman web ini

  • MEI 22 2012
    Simpang Jalan Kampung Jangalas Bahaya Kepada Pengguna !
 



 

BEKENU - Kampung Jangalas, Bekenu lebih kurang 45 minit perjalanan dari Bandaraya Miri. Satu masalah utama yang merunsingkan penduduk di Kampung Jangalas ialah tiada papan tanda utama di simpang jalan masuk ke kampung Jangalas. Kampung Jangalas berada di seberang jalan utama / jalan persisir pantai Miri-Bintulu.

Simpang jalan keluar / masuk ke dalam kampung Jangalas agak merbahaya kepada pengguna jalanraya disebabkan permukaan jalan yang tidak rata, berlubang dan betul-betul di simpang jalan masuk. Ini boleh dikatakan simpang MAUT menurut penduduk di kampung tersebut.

Sepatutnya jalan masuk kampung Jangalas sudah lama diturap dengan tar dan dibina longkang di kiri/kanan bahu jalan supaya air tidak bertakung ketika musim hujan. Akibatnya jalan berlopak dan boleh merosakkan kenderaan kecil sekiranya mereka tidak berhati-hati ketika memandu di jalan tersebut.

Keadaan jalan kampung Jangalas yang rosak teruk ini terutama musim hujan sepatutnya dinaiktaraf sepenuhnya agar ianya memberi kemudahan dan keselamatan kepada penduduk di kampung Jangalas menjalankan urusan harian mereka dengan selesa tanpa tersekat atau diancam bahaya akibat jalan yang tidak sesuai untuk kenderaan kecil.

Di situ terdapat sebuah Jambatan Sg Jangalas ii yang ‘cantik’ tapi jalan kurang memuaskan disebabkan tidak rata dan berlubang. Jambatan yang cantik hanya dihiasi dengan rumput lalang disebabkan oleh tiada siapa yang ambil peduli.

Penduduk di kampung Jangalas memohon agar pihak kerajaan segera memasang lampu jalan, sebab apabila waktu malam, jalan tersebut terlalu gelap. Jalan masuk yang sempit, rumput kiri/kanan jalan yang tidak dipotong menyebabkan lalang tumbuh tinggi sehingga papan tanda jalan pun tidak kelihatan.

Menurut penduduk disitu perkara ini sudah lama diberitahu kepada pihak yang berkenaan termasuk wakil rakyat di situ tetapi tiada sebarang tindakan diambil untuk mengatasi masalah jalan kampung ini.

Kita mendesak kepada pihak yang berkenaan agar segera membaiki jalan kampung Jangalas serta menaiktaraf jalan kampung tersebut sebagaimana yang telah dijanjikan oleh wakil rakyat dulu, menurut kata penduduk disitu yang mengadu kepada PAS Miri.

Demi keselamatan penduduk dan pengguna jalanraya, kita tidak mahu berlaku sebarang kemalangan maut di simpang jalan masuk kampung tersebut akibat jalan teruk dan sukar untuk keluar/masuk dari simpang yang agak terlindung dari penglihatan pengguna jalanraya yang lalu lalang di kawasan jalan utama Miri-Bintulu.

Semoga masalah penduduk kampung Jangalas dapat diatasi dengan segera tanpa perlu menunggu pilhanraya umum, barulah sibuk hendak menunjuk keperihatinan kepada penduduk di kampung tersebut.

Kerajaan hendaklah berlaku adil kepada semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik rakyat yang memilih kerajaan.



JOFRI JARAIEE
PAS Miri, Sarawak