hanya laman web ini

  • JUN 06 2012
    Harga makanan di Kuala Terengganu tinggi?
 



 

MAKANAN yang dijual di gerai-gerai sekitar Kuala Terengganu agak mahal berbanding bandar-bandar besar lain di negara ini.
Bayangkan harga sebungkus nasi lemak dengan sebiji telur mata kerbau atau telur rebus adalah RM3 berbanding RM1.50 di
bandar-bandar lain. Begitu juga harga minuman seperti jus oren yang dijual sehingga RM4.00 segelas.


Yang menjadi masalah, kebanyakan gerai dan restoran di Kuala Terengganu tidak mempamerkan tanda harga dan
ini mendorong peniaga mengambil kesempatan.


Kebanyakan lot perniagaan terutama sekali di kawasan tempat tarikan pelancong seperti Medan Selera Batu Buruk tidak dibuka. Hanya 4 atau 5 lot sahaja dibuka di waktu pagi dan bilangannya bertambah tidak sampai 10 gerai pada waktu makan tengah hari.


Jika dirasakan lot jualan makanan terlalu banyak, biarlah sebahagian lot gerai dijadikan gerai jualan barangan cenderahati, akhbar, majalah dan makanan ringan. Lot-lot gerai juga boleh menawarkan khidmat urutan refleksologi atau urut tradisional yang kini popular di kalangan pelancong asing.


Kebanyakan pelancong juga merungut kerana kurangnya pengangkutan awam dalam bandar seperti bas perbandaran dan teksi bandar. Dicadangkan juga beca roda tiga yang begitu popular di Kuala Terengganu suatu ketika dahulu dipromosikan kembali.


Walaupun Terengganu menghasilkan tangkapan laut yang besar, namun harga ikan, sotong, udang dan ketam agak mahal daripada bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Seremban. Nampaknya taraf hidup di Kuala Terengganu semakin meningkat tetapi pendapatan sebilangan besar rakyat masih rendah.



SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban