hanya laman web ini

  • JUL 09 2012
    Tabung Haji jelaskan isu pembayaran kepada CEO
 



 

DENGAN segala hormatnya, Lembaga Tabung Haji merujuk kepada artikel oleh Roy Rasul yang telah diterbitkan oleh akhbar Harakah pada 22 Jun 2012. Isu ini telah pun dijawab di Parlimen pada 20 Jun 2012 seperti yang dibangkitkan oleh Dato’ Mahfuz Omar.


Lembaga Tabung Haji (TH) ingin menjelaskan bahawa arahan pembayaran wang tersebut ke dalam akaun Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH pada tahun lalu adalah sah mengikut undang-undang. Ianya adalah pembayaran mengikut terma dan syarat yang terkandung di dalam kontrak perkhidmatan beliau, iaitu untuk pembayaran emolumen dan elaun-elaun termasuk insentif perkhidmatan pada akhir tahun kontrak seperti termaktub di dalam Seksyen 13 Akta 535 Akta Lembaga Tabung Haji 1995.


Terma dan syarat perkhidmatan di dalam semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kerajaan merupakan peraturan sedia ada dan difahami secara umum. Terma dan syarat perlantikan bagi perkhidmatan seseorang anggota TH adalah seperti yang diperuntukkan di dalam Akta 535 Akta Lembaga Tabung Haji 1995, Seksyen 12, 13 dan 14 yang merangkumi syaratsyarat perlantikkan. Tugas dan tanggungjawab serta emolumen.


Lembaga Tabung Haji menggunapakai Skim Saraan Gaji TH semenjak Januari 1992 apabila kerajaan membuat keputusan untuk mengasingkan lima badan berkanun (LTH, LTAT, KWSP, PERKESO dan BSN) daripada Skim Saraan Malaysia yang sedia ada. Semenjak tahun itu juga, TH mempraktikkan lantikan anggota secara kontrak termasuk Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, di mana anggota TH tersebut berhak menikmati janji perkhidmatan kontrak sebagaimana yang telah ditetapkan melalui Skim Saraan Gaji TH 1992. Kami berharap maklum balas yang diberikan ini dapat menjelaskan perkara yang dibangkit dalam Harakah.


ANIS ZUHANI AHMAD


Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat
Kumpulan Lembaga Tabung Haji


Jawapan kepada:


Isu CEO Tabung Haji - Najib, Jamil Khir jangan lepas tanggungjawab


Oleh ROY RASUL


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom yang bertanggungjawab terhadap Tabung Haji digesa memberi penjelasan berhubung isu pembayaran wang berjumlah RM308,700 kepada akaun Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Ismee Ismail pada 6 Disember 2011.


Dato’ Mahfuz Omar (PAS – Pokok Sena), menggesa demikian kerana jawapan lisan Jamil pada 19 Jun lalu yang mengatakan arahan isu pembayaran wang ke dalam akaun Ketua Pengarah Kumpulan Tabung Haji pada tahun lalu adalah sah mengikut undang-undang.


“Dalam jawapan lisan kepada soalan saya hari ini pembayaran itu mengikut terma dan syarat yang terkandung di dalam kontrak perkhidmatan Ismee seperti diperuntukkan di dalam Akta Lembaga Tabung Haji 1995.


“Isu itu juga katanya telah dijawab oleh Timbalan Menteri Kewangan II semasa sesi penggulungan Perbekalan Tambahan (2011) 2012 di Dewan Rakyat pada 4 April lalu,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, Selasa lalu.


Sehubungan, itu tegasnya, Najib dan Khir perlu jelaskan apa terma dan syarat perkhidmatan itu. Katanya, sebagai penyimpan di Tabung Haji, mereka ingin tahu kerana dividen yang dibayar kepada penyimpan tahun lalu hanya enam peratus.


Tambahnya, penyimpan juga ingin tahu bagaimana seorang Ketua Eksekutif boleh mendapat wang lebih daripada RM300,000.


“Ini satu benda besar, jadi kita nak tahu apa syarat perjanjiannya dan apa tujuan bayarannya dibuat. Bagi tahulah adakah ia bonus, gaji atau ganjaran,” soalnya.


Tambahan pula, katanya, menteri tidak menafikan wang itu di pindahkan ke akaun Ketua Ekskutif Tabung Haji. Katanya, jawapan yang diberikan tidak jelas berkaitan pemindahan wang pada 6 Disember 2011.


“Saya mengharapkan soalan yang penting dan membabit penyimpan-penyimpan di Tabung Haji dijawab dengan jelas kerana
para penyimpan ingin mengetahui tentang kewangan pengurusan Tabung Haji,” katanya.


Sebelum itu dalam soalan asalnya, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan atas dasar apa pada 6 Disember 2011 Tabung haji memindahkan wang sebanyak RM308,700 daripada akaunnya kepda akaun Ketua Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Ismee.



HARAKAH