hanya laman web ini

  • JUL 30 2012
    Kementerian jelaskan isu aduan petani
 



 

SAYA merujuk kepada aduan di ruangan Negeri akhbar Harakah Bil 1761 (muka surat 22) bertarikh 20-22 Julai 2012 mengenai Petani Kawasan Najib Tidak Dibela.


Untuk makluman, terdapat beberapa isu yang terlibat antaranya ialah isu mesin jentuai. Isu ini merupakan isu yang selalu dibangkitkan setiap kali musim penuaian. Walau bagaimanapun, pihak PASFA jentera Pekan telah menyediakan sejumlah 6 buah mesin jentuai bagi menyegerakan penuaian padi petani di sawah/paya berkenaan.


Kadangkala berlaku kerosakan dan kelewatan penghantaran mesin seperti yang dilaporkan tetapi tindakan pantas PASFA jentera Pekan iaitu dengan menambah lagi sebuah (1) mesin jentuai bagi mengatasi masalah kelewatan tersebut. Walau bagaimanapun, pihak petani dengan kerjasama pihak KPA boleh menyewa mesin jentuai dari luar jika berlaku kelewatan seperti dilaporkan.


Isu yang seterusnya ialah isu hasil pendapatan merosot dan isu pembajakan sawah atau paya tidak sempurna. Perkara ini bukan hanya disebabkan oleh kelewatan mesin jentuai sahaja tetapi berlaku juga disebabkan petani sendiri tidak membuat penjagaan yang sempurna terhadap tanaman padi. Hasil padi merosot, tidak menjadi atau kurang menjadi juga disebabkan serangan penyakit karah dan Ulat Pengorek Batang di saat akhir tempoh penanaman.


Isu pembajakan pula berlaku disebabkan keadaan paya yang tidak rata dan kesukaran mengeringkan air bagi seluruh lot/kawasan blok 2A dan 2B. Ini kerana pada masa ini semua tali air bagi air buang perlu dikeringkan untuk tujuan penyediaan hard pan lapisan keras di dalam petak sawah disebabkan ketiadaan parit jejari.


Seterusnya ialah isu kelewatan bekalan baja. Pihak jawatankuasa kelulusan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan sentiasa bersedia dan bermesyuarat lebih awal sebelum musim penanaman bermula dan pengedaran baja subsidi dan racun masih di dalam penjadualan penanaman.


Isu yang terakhir ialah isu sistem pengairan. Skim Pengairan Pahang Tua/Langgar ini masih lagi di dalam tempoh tanggungan kecacatan DLP) pihak kontraktor Hascita Sdn Bhd yang diselia oleh pihak Bahagian Pengairan Saliran Pertanian (BPSP) Putrajaya.


Segala kecacatan dan kerosakan yang berlaku disepanjang tempoh ini iaitu sehingga 1 Februari 2013 adalah di bawah tanggungjawab pihak kontraktor. Untuk musim lepas, 90% kawasan paya boleh diairi. Walau bagaimanapun pihak kontraktor, BPSP, Pejabat Pertanian Daerah Pekan dan KPA akan sentiasa mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini.



NUR AZANTULAQMA ABD WAHAB
Penolong Pengarah Bahagian Pengairan Dan Saliran Pertanian Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia.