hanya laman web ini

  • OGS 14 2012
    Harakah bantu anak melecur
 



 

PAROI: Keperitan dan kesakitan seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan, Aliff Fezwan Hazman mendapat perhatian Tabung Kemiskinan Harakah yang menyumbangkan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada ibu bapa beliau untuk
meringankan kos perubatan Aliff Fedzuan.


Sumbangan Harakah disampaikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abdul Ghani yang ditemani isteri beliau.


Ibu kepada kanak-kanak malang itu Hamidah Mohamad menceritakan kepada Harakah detik yang beliau tidak akan lupakan sepanjang hayat beliau.


“Pada 12 Disember 2011, lebih kurang 07.30 malam saya sedang memasak di dapur. Sementara Aliff Fezwan (berumur setahun ketika itu) dan seorang lagi anak saya bermain di ruang tamu. Ketika itu nasi sedang mendidih di dalam periuk nasi elektrik di atas meja di ruang tamu.


“Saya tidak melihat tetapi anak saya yang seorang lagi beritahu bahawa Aliff Fezwan telah menarik kabel periuk nasi dan membuatkan periuk nasi jatuh ke atas badan Aliff Fezwan. Nasi berserta air yang mendidih di dalam periuk itu terkena pada permukaan pipi kanan, telinga kanan, dagu, badan, tangan kanan dan kiri Aliff Fezwan.


“Ini mengakibatkan bahagian muka dan badan Aliff Fezwan yang terkena beras mendidih itu melecur dan kulitnya menggelupas. Malah kepanasan tersebut mengakibatkan beberapa organ Aliff Fezwan cair dan melekat. Daging dagu dan gusi dalam beliau melekat dan ini membuatkan Aliff Fezwan kini menghadapi kesukaran untuk mengunyah dan makan.


“Malah beliau tidak boleh menutup mulut secara normal seperti kanak-kanak lain. Telinga kanan beliau juga melekat dengan leher,” kata Hamidah.


Kesan daripada kulit melecur itu Aliff Fezwan sering menangis kerana kulit berasa panas dan gatal. “Aliff Fezwan juga perlu
memakai sepasang baju khas yang diberikan oleh pihak Hospital untuk membolehkan proses pembinaan semula kulit badan beliau berlaku tanpa kesan mengelembung,” kata Hamidah.


Hamidah merakamkan penghargaan beliau kepada Harakah dan Mohamad Taufek di atas keprihatinan untuk membantu anak beliau Aliff Fezwan.


Mohd Taufek berkata Hamidah pernah datang ke pejabat beliau untuk memohon bantuan kewangan untuk menampung kos rawatan Aliff Fezwan.



HARAKAH