hanya laman web ini

  • SEP 18 2012
    Ibu tunggal terharu dapat rumah baru
 



 

KULAIJAYA: “Hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya perasaan makcik bila dapat rumah baru ini, dulu makcik sekeluarga tidur berendam dalam air setiap kali hujan turun tetapi sekarang ini tidak lagi, makcik ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada PAS yang sudi membantu makcik sekeluarga.”


Demikian luahan perasaan seorang ibu tunggal warga emas di Felda Taib Andak dekat sini, Mak Teh Ali Ahmad, 80, ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah sumbangan PAS Kulai yang telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, baru-baru ini.


Hadir sama pada majlis ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Mazlan Aliman serta Yang Dipertua PAS Kulai, Mohd Hisham Mohd Zain.


Ketika berucap pada majlis sarapan pagi sempena penyerahan rumah tersebut, Tuan Guru Abdul Hadi turut mengucapkan tahniah kepada PAS Kulai yang begitu perihatin dengan masalah rakyat.


“Amalan yang sangat baik ini amat wajar dicontohi oleh setiap kita tanpa mengira bangsa, agama serta fahaman politik kerana amalan ini sangat digalakkan oleh Islam.


“Kita tidak tolong orang untuk dapatkan undi dalam pilihan raya tetapi kita tolong semua yang memerlukan bantuan sekadar kemampuan yang kita ada, berbeza dengan Umno yang memberi bantuan semata-mata untuk memancing undi, ini tidak ikhlas dan ini juga bukan yang diajar oleh Islam,” tegas beliau.


Rumah yang dibina atas inisiatif PAS Kulai melalui sumbangan orang ramai dengan kos sekitar RM35,000 ini telah siap menjelang Aidilfitri lalu sekali gus membolehkan keluarga berkenaan menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan.


Ketika ditemui, Mak Teh turut melahirkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana sejak bertahun-tahun lamanya beliau sekeluarga seramai sembilan orang hidup dalam keadaan yang cukup sengsara, rumah kayu asal yang dibina Felda sejak berpuluh-puluh tahun lalu ini sudah reput dan menunggu masa untuk roboh.


“Sebelum ini tiada siapa pun yang peduli dengan nasib kami, pendapatan kelapa sawit makcik pula hanya cukup untuk menyara anak-anak makcik yang mengalami berbagai penyakit menyebabkan mereka tidak boleh bekerja bahkan ada yang hanya terlantar di atas kerusi sahaja.


Sehubungan itu Yang Dipertua PAS Kulai, Mohd Hisham Mohd Zain, sekali lagi merayu orang ramai yang mahu terus menginfakkan harta untuk amal jariah agar menyalurkan sumbangan ikhlas mereka terus ke akaun Maybank (551100701033).



SALMAN HUSSIN
Harakah